REMAJA
ALLAH s.w.t. mengurniakan manusia akal. Potensi akal membolehkan manusia merenung, memerhati, mengetahui dan berfikir. Kekuatan
minda menjadikan seseorang mampu mengingat, berfikir dan mempunyai daya taakulan. Menerusi berfikir dan mengkaji datangnya
maklumat, fakta, data dan ilmu. Melalui maklumat dan ilmu membolehkan manusia tahu. Pengetahuan menjadikan manusia memiliki
cara untuk tahu tentang sesuatu. Al-Quran pula menghasilkan hikmah dan daripadanya pemikiran mendapat suluh membimbing manusia
ke arah pengetahuan yang benar.
Tony Buzan yang mempunyai kepakaran dalam Peta Minda menyebutkan manusia hanya menggunakan satu peratus daripada otak
kanan dan otak kiri. Otak kanan berguna untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan seni dan sastera sementara otak kiri berguna
untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan angka. Penggunaan otak kanan dan otak kiri, kata Tony Buzan, boleh meningkatkan
kualiti berfikir seseorang.
Amalan berfikir adalah suatu tabiat baik sama ada ia menjadi amalan individu atau kelompok yang ingin mengembang dan menajamkan
minda. Pepatah ada menyebut bahawa 'fikir itu pelita hati' yang membawa maksud bahawa seseorang yang melakukan amalan berfikir,
dia sentiasa menerima cahaya dan petunjuk. Amalan berfikir bermula dengan tabiat membaca yang tinggi, tabiat berbincang yang
baik dan tabiat menghasilkan pemikiran dalam bentuk karya sama ada berbentuk kreatif mahupun deskriptif.
Remaja adalah tenaga yang segar dan amat berpotensi untuk membina amalan berfikir. Dengan potensi akal yang tinggi dan
segar, otak memerlukan latihan. Apa yang remaja baca, bincang, renung dan fikir memberi sumbangan yang amat berguna untuk
mempertajam dan memperkasa minda. Orang yang tajam mindanya adalah hasil latihan otak yang berterusan. Mindanya menjadi kreatif,
pandangannya menjadi kritis dan analisisnya menjadi sistematik. Ia mampu menilai sesuatu data, fakta dan menyebabkan maklumat
berkembang. Ilmunya meningkat dan bertambah dan menyebabkan upaya bijaksananya tinggi. Hasilnya ialah pengalaman berfikir
meningkat dan kewibawaan ilmu juga berkembang.
Para remaja harus menyajikan minda dengan bahan-bahan yang baik dan yang berguna untuk difikirkan. Membaca buku-buku yang
berfaedah, majalah yang bermutu, berbincang isu-isu ilmu yang bermanfaat, meneliti perkembangan semasa yang sedang berlaku
boleh mengembangkan daya fikir. Amalan membaca bukan hanya menerima apa yang dibaca dan dibincang tetapi ia merupakan langkah
awal untuk menyuburkan tabiat berfikir.
Jalan berfikir yang berkesan selalunya dua hala; ia tidak sehala. Oleh itu berfikir seorang diri kadang-kadang tidak menjadikan
minda remaja tangkas dan perkasa. Tetapi bila berlaku perbincangan dua hala minda remaja akan dilatih dengan amalan berfikir,
memberi buah fikiran yang bernas dan akhirnya bersedia untuk memberi dan menerima kritik dan pandangan yang membina terhadap
sesuatu perkara.
Al-Quran memberi keutamaan kepada amalan berfikir yang mempunyai maksud yang baik dan bermanfaat. Konsep ya'qilun, yatafaqqarun
dan yatadabbarun sebenarnya mengajak manusia berfikir, merenung dan mengkaji atau menyelidik. Tradisi ini sangat hebat dilakukan
oleh pemikir, ilmuwan dan ulama silam. Amalan berfikir tidak hanya terlihat dalam muzakarah yang berterusan, halaqah yang
subur tetapi juga dalam penulisan. Ulama-ulama besar pada masa dulu berfikir tentang diri, hubungan dengan alam dan Pencipta
dan memanfaatkan pensyariatan Allah dalam al-Quran, melakukan tadabbur atau kaji selidik yang berbentuk sains, ilmu bintang,
falsafah dan lain-lain. Kemajuan umat Islam pada masa lalu adalah akibat berkembangnya tabiat dan tradisi berfikir di kalangan
pemeluknya khususnya para ilmuwan, ahli fikir dan juga ulama.
Pada hari ini, antara punca kelemahan umat Islam ialah mereka malas membaca dan akhirnya malas berbincang dan berfikir.
Kemalasan berbincang menyebabkan tiadanya idea-idea baru. Akhirnya kita menjadi jumud atau beku dan menjadi pengekor dan penciplak
ilmu orang lain dan akhirnya menjadikan kita bangsa atau umat pengguna sepanjang zaman.
|